Isu-isu politik Senario Pilihan Raya Umum Malaysia ke-12

Anwar Ibrahim tidak boleh bertanding

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa ditemubual oleh CNN menyatakan faktor Anwar Ibrahim bukan penentu tarikh pilihan raya Malaysia ke-12. Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya layak menyertai pilihan raya umum hanya selepas bulan April 2008. Pembangkang mendakwa Barisan Nasional takut kepada Anwar Ibrahim dan dengan itu akan mengadakan pilihan raya sebelum April 2008. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi bin Awang berharap pilihan raya akan diadakan selepas April 2008 agar Anwar Ibrahim dapat bertanding.

Anwar Ibrahim menyatakan strategi Parti Keadilan Rakyat ialah beliau akan bertanding di salah satu kerusi yang dimenangi oleh calon PKR nanti. Salah seorang wakil rakyat PKR akan mengosongkan kerusi yang dimenanginya bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Ura-ura menyatakan beliau akan bertanding di parlimen Kuala Kangsar bagi menentang Datuk Seri Rafidah Aziz. Tetapi kerusi yang lebih selamat terletak di Kedah seperti di Kuala Kedah atau Pendang.

Pada pilihan raya ke- 11 PKR hanya memenangi satu kerusi parlimen iaitu Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang yang dimenangi isteri Anwar Ibrahim, Datin Seri Azizah Ismail selepas pengiraan kertas undi berulang kali.[11]

Layanan terhadap masyarakat India

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri turun padang bagi menjelaskan isu layanan tidak adil ke atas kaum India di Malaysia. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pemimpin agama Hindu bagi mendapatkan respon mereka. Protes masyarakat India seperti yang dilakukan oleh HINDRAF merupakan fenomena baru yang turut mengujakan.

Ekonomi Malaysia kukuh

Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan ekonomi Malaysia berada dalam keadaan baik untuk mengadakan pilihan raya dan peluang Barisan Nasional adalah cerah.

Pendapatan pekebun kecil juga telah meningkat pada tahun 2003 pekebun kecil getah memperoleh pendapatan sebanyak RM1,226 sebulan tetapi pada 2007 pendapatan telah meningkat kepada RM3,042 sebulan. Bagi pekebun kecil kelapa sawit pada 2003 ialah RM2,784 sebulan dan pada 2007 meningkat kepada RM5,841 sebulan.Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menjelaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai nisbah eksport dengan Keluaran Dalam Negara Kasar melebihi 100 peratus.[12]

Kemiskinan

Kadar kemiskinan dikurangkan daripada 60 peratus sewaktu tempoh sebelum merdeka kepada hanya 5.7% termasuk 1.2% kategori miskin tegar menerusi pelbagai program.

Bilangan isi rumah miskin tegar 38,657 pada 2007 berbanding 48,134 pada 2003. Kemiskinan tegar dalam kalangan Orang Asli berkurang daripada 25,337 pada 2000 kepada 13,945 pada 2003. Kadar keciciran golongan Orang Asli dalam pendidikan dapat dikurangkan daripada 97 peratus pada 2003 kepada hanya 1.5 peratus pada tahun 2007.[13]

Kenaikan harga barang

Rakyat Malaysia berhadapan dengan kenaikan harga barang dan kerajaan seperti tidak dapat mengawal tindak-tanduk pengilang, pengimport, pengekport dan peniaga borong, peniaga runcit dan penyeludup barangan ini di sempadan Thailand dan Kalimantan. Antara barang yang meruntun hati rakyat ialah harga tepung, gula, minyak masak dan petrol. Walaupun Malaysia adalah antara pengeluar utama minyak kelapa sawit dan petrol di dunia.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) melalui Datuk Mohd Shafie Apdal berkali-kali memberi amaran kepada peniaga dan pengilang tetapi masalah ini semakin serius.[14]

Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah setuju menubuhkan Stok Penimbal Kebangsaan dan Majlis Harga Negara untuk memastikan harga barangan keperluan stabil dan bekalannya sentiasa mencukupi.[15]

Pada 6 Februari 2008, kerajaan telah melarang membawa keluar 10 daripada 20 barang kawalan di semua pintu masuk sempadan negara berkuatkuasa mulai 1 Mac 2008. Arahan itu tertakluk dalam Akta Kawalan Bekalan 1961 seperti gula, tepung gandum, minyak masak, simen dan klinker, petrol, spirit motor dan gasolin motor bagi semua gred. Denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, hukumannya ialah denda maksimum RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali. Barang-barang kawalan itu telah diberi subsidi serta murah dan ia adalah khusus untuk rakyat Malaysia sahaja.[16]

Negara kebajikan

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mewarwarkan negara kebajikan di Malaysia jika parti pimpinannya menang pilihan raya kali ini. Tetapi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan janji itu cuma utopia semata-mata yang tidak mungkin akan tertunai. Amerika Syarikat sebuah negara besar sekalipun tidak mampu menjadi negara kebajikan. Malahan kerajaan negeri Kelantan yang diteraju oleh tok guru Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak berbuat apa-apa di Kelantan.[17] Malahan 4 buah masjid yang dikatakan dibina oleh kerajaan PAS Kelantan, sebenarnya hasil usaha persendirian dan penduduk setempat.Sebaliknya pihak PAS menjawab di akhbar mereka sendiri iaitu Harakah mengatakan yang mereka lebih menekankan konsep baik pulih daripada membina. Ini terbukti apabila PAS membaik pulih masjid-masjid yang dibina UMNO tanpa penyelengaraan selepas itu. Selain itu, kerajaan PAS menyiapkan sebuah masjid di Terengganu yang gagal disiapkan oleh UMNO berikutan kegagalan mempertahankan kerusi DUN Terengganu pada pilihan raya yang lalu. Pihak PAS juga turut menyebut bahawa masjid jika dibina berjuta-juta tanpa jemaah berjuta-juta bagai rumah tanpa isi di TvPAS.

Negara Islam

Sejak dahulu lagi PAS melabel Malaysia bukan sebuah negara Islam kerana tidak menjalankan hukum hudud. Sebenarnya Malaysia tidak perlu kepada pengiktirafan PAS tetapi sebaliknya Malaysia diiktiraf dunia. Malaysia dikatakan sebagai contoh negara Islam dan menjadi model kepada negara Islam dan negara bukan Islam lain di seluruh dunia terutama sudut pembangunan ekonomi dan pengurusan pentadbiran negara. Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman berpendapat bahawa rakyat tidak perlu menghiraukan kenyataan PAS tersebut.[18]

Sejak tahun 1990, Kelantan telah ditadbir oleh kerajaan PAS. Tetapi sehingga kini hukum hudud tidak dapat dilaksanakan di sana kerana halangan-halangan daripada pihak kerajaan Persekutuan atas alasan terlalu kejam. Ini kerana mereka belum menyelami konsep hukum hudud itu sendiri.[19]

Rujukan

WikiPedia: Senario Pilihan Raya Umum Malaysia ke-12 http://122.0.17.30/news/79429 http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3...